Sunday, 28 October 2012

Fatonah Si Tukang Sembelih







RAUT wajah Siti Fatonah Arbain nampak tenang ketika berdepan seekor kambing yang telah direbahkan di atas rusuk kiri. Sambil menggenggam sebilah pisau khas yang diletakkan di leher haiwan tersebut, wanita berusia 43 tahun itu sempat membetulkan posisi tubuhnya.
Seboleh-bolehnya dia mahu lekas melakukan penyembelihan tersebut kerana enggan memberi tekanan kepada kambing baka import daripada jenis ferral itu.
Sejurus membaca kalimah syahadah, Fatonah memutuskan dua urat leher kambing itu dari kiri ke kanan dengan sepenuh kudrat wanitanya. Beberapa orang pekerja membantunya memegang haiwan itu agar tidak meronta-ronta.
"Kita seharusnya segerakan proses penyembelihan selepas haiwan ditumbangkan kerana tidak mahu berterusan memberi tekanan dan menyeksanya.
"Kita disunatkan menggunakan pisau sembelih khas yang tajam bagi mengurangkan kesakitan haiwan itu semasa disembelih," kata Fatonah sejurus melakukan proses tersebut yang dilihat begitu mudah.
Fatonah mengikuti kursus penyembelihan haiwan anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 2005 sekali gus mendapat pentauliahan daripada jabatan agama itu. Dia merupakan satu-satunya peserta wanita dalam kalangan 45 peserta dalam kursus selama empat hari itu.
FATONAH merupakan segelintir wanita di negara ini yang memiliki sijil pentauliahan untuk menyembelih haiwan.


Menganggap tugasan tersebut sebagai tuntutan fardu kifayah, Fatonah bagaimanapun enggan mengambil alih tugas lelaki sebagai tukang sembelih. Dia sebaliknya mempersiapkan ilmu tersebut untuk kegunaan waktu darurat.
"Saya belajar cara menyembelih disebabkan tanggungjawab yang harus dipikul. Apatah lagi saya dan suami merupakan pengusaha ladang ternakan haiwan. Jadi ilmu berkaitan seharusnya saya tahu.
"Selalunya tugas menyembelih ini saya berikan kepada suami. Tetapi saya sentiasa bersedia untuk menyembelih terutamanya semasa ketiadaan suami atau berdepan dengan haiwan yang sedang nazak akibat masalah kesihatan.
"Saya sebenarnya sudah jarang menyembelih kerana melakukan tugasan lain di ladang ini," katanya.
Jelas Fatonah, seorang wanita seharusnya memiliki ilmu tersebut sekurang-kurangnya sebagai persediaan untuk kegunaan ketika memerlukannya.
Begitupun, stigma masyarakat tentang penglibatan wanita dalam proses tersebut turut menjadi penghalang buat golongan hawa untuk pergi jauh dalam bidang itu.
Bagaimanapun ia bukan alasan untuk Fatonah berada selangkah di hadapan.
"Untuk menyembelih tidaklah terlalu sukar. Apa yang penting adalah ilmu dan keberanian. Cuma persepsi negatif segelintir masyarakat menyebabkan tukang sembelih wanita dipandang sebelah mata.
Makruh


BERMESRA dan 'berbual-bual' dengan haiwan peliharaannya menjadi rutin harian Fatonah.



"Tiada salahnya jika wanita melakukan penyembelihan kerana rukun menyembelih tidak mensyaratkan lelaki sebagai tukang sembelih.
"Cuma tindakan itu makruh. Saya sendiri mendapat reaksi negatif daripada orang ramai yang tidak memahami perkara itu.
"Ada orang yang pernah menyatakan bahawa daging haiwan yang saya sembelih tidak boleh dimakan oleh orang lelaki, hanya orang perempuan yang boleh memakannya. Itu tidak benar," kata Fatonah ketika ditemui Jurnal di ladang ternakan miliknya di Kampung Teluk Penyamun, Kuala Selangor, Selangor.
Fatonah dan suaminya, Mohamad Jamil Mahidin, merupakan usahawan ternakan yang berjaya. Antara haiwan yang diternak mereka atas nama MJ Fatonah Sdn. Bhd. termasuklah lembu, kambing, ayam belanda, ayam mutiara, ayam kampung, itik, puyuh dan arnab.
Perusahaan tersebut ditubuhkan sejak tahun 2005 selepas 15 tahun Fatonah terlibat dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di sebuah kilang pembuatan badan pesawat.
Tanah seluas 8,093 meter persegi yang dikelilingi ladang kelapa sawit di Kuala Selangor itu menjadi lokasi penternakannya. Di situ juga terdapat ruang-ruang tertentu untuk peserta kursus bidang penternakan yang dianjurkan oleh MJ Fatonah.
Bergelar usahawan ternakan membuatkan ibu kepada dua orang cahaya mata itu tegar kepada cabaran apatah lagi setiap hari dia perlu berdepan dengan bau haiwan dan persekitaran yang dianggap kurang selesa oleh orang lain.
Namun, dia tidak pernah mengeluh bahkan kerjaya itu sangat bermakna baginya biarpun terpaksa bekerja pada hari raya.
Jelas Fatonah, musim hari raya korban pada setiap tahun merupakan waktu paling sibuk kerana dia perlu membekalkan lembu dalam jumlah yang banyak pada masa yang hampir serentak.
ELAKKAN daripada menindih lembu korban dan memegang secara beramai-ramai kerana ini akan memberi tekanan kepada haiwan tersebut. - Gambar hiasan


Dia mengakui dirinya tidak kisah untuk beraya di dalam ladang itu.
"Setelah selesai melakukan ibadat korban di kawasan kediaman saya di Kampung Melayu Subang di Shah Alam, Selangor, saya akan bergegas ke sini (Kuala Selangor). Jubah hari raya akan ditukar kepada uniform ladang sejurus lembu korban saya selesai disembelih.
"Tempoh beberapa hari sebelum hari raya haji dan hari tasyrik (hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijah) merupakan waktu paling sibuk dalam setahun.
"Kalau orang lain beraya bersama keluarga sambil bergotong-royong melakukan ibadat korban, saya pula berhari raya di atas lori untuk menghantar lembu-lembu kepada pelanggan," katanya berjenaka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...