Sunday, 28 October 2012

‘Saya cukup masak’


TENANG...Kim Swee (kanan) memantau sesi latihan.
TENANG...Kim Swee (kanan) memantau sesi latihan.
JURULATIH Harimau Muda, Ong Kim Swee sudah cukup bersedia menghadapi apa saja kemungkinan pada masa depan selepas dihimpit cabaran demi cabaran yang langsung tidak menghalangnya membantu anak buahnya melakar kejayaan.
Pujian wajar diberikan kepada pengendali berusia 41 tahun itu kerana ketika berdepan masalah serta tekanan, Kim Swee tidak pernah mengecewakan peminat tempatan apabila terbaru membimbing anak buahnya menjuarai Kejohanan Jemputan Newspaper Cup di sebalik kehilangan kebanyakan tonggak utama kerana kecederaan serta di panggil menjalani latihan bersama Harimau Malaya.

Itu bukan satu-satunya masalah yang pernah di hadapi Kim Swee malah beliau pernah berdepan cabaran lebih besar ketika membantu skuad negara mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Sea di Indonesia, tahun lalu.
“Saya sudah cukup masak menghadapi masalah kecederaan serta pemain dipanggil skuad utama. Memanglah saya akui kadangkala agak tertekan dan mengeluh tapi saya cuba ubah tekanan itu kepada satu cabaran.

“Takkanlah saya mahu mengalah awal-awal. Apa kata pemain pula nanti, sudah tentu mereka akan berasa kecewa jika saya mempunyai mentaliti seperti itu.

“Jadi walau apapun berlaku, saya perlu kuat dan cuba mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang saya hadapi.
“Cabaran demi cabaran ini menguatkan lagi semangat saya dan sudah bersedia menghadapi apa saja kemungkinan selepas ini,” luah Kim Swee.

Ada yang mengganggap kempen Harimau Muda pada Kejohanan Jemputan Newspaper Cup di Vietnam baru-baru boleh ‘bungkus awal’ selepas Kim Swee kehilangan lima tonggak utama kerana disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya untuk persiapan aksi persahabatan menentang Hong Kong pada 16 Oktober lalu.
Lebih parah, Kim Swee turut berdepan masalah kecederaan membabitkan pemainnya sehingga menyaksikan hanya bergantung kepada 14 pemain saja untuk menggalas cabaran di Vietnam.

“Bagi saya pujian wajar diberi kepada pemain kerana mereka tidak pernah panik ketika berdepan tekanan termasuk ketika di Vietnam,” kata Kim Swee.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...