Sunday, 28 October 2012

Terapi Shila Hadapi Sindiran


Nor Shahila Amir Amzah 
SETINGGI manapun pencapaian diperoleh, pasti ada pengorbanan terpaksa dilakukan. Kejayaan manis menjuarai pertandingan Asian Wave di Shanghai, China pada 20 September lalu, membuka mata semua pihak betapa perjuangan Nor Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah selama 12 tahun akhirnya berbaloi.
Malah, dia menerima kontrak rakaman dan pengurusan artis bernilai RM5 juta dikongsi bersama pemenang tempat kedua dan ketiga pertandingan itu.
   
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Shila juga terpilih membuat persembahan pembukaan beberapa siri konsert penyanyi kelahiran Malaysia yang kini popular di China, Eric Mo.

Terbaru, Shila bakal berkolaborasi dengan penyanyi kacak popular, Wang Leehom dalam album sulungnya untuk pasaran luar negara.

Siapa menduga, gadis berusia 22 tahun ini akhirnya berjaya menutup mulut banyak pihak yang sering mempertikai kebolehannya.

Anak gadis penyanyi terkenal 1980-an dan 1990-an, ND Lala ini mengakui sering diperlekeh dan dipersenda. Ada kala kenyataan dilontar sangat pahit, malah ada juga yang menghiris secara halus.

“Saya sudah biasa dengan cakap-cakap orang. Memang daripada dulu lagi orang cakap macam-macam. Namun semuanya saya telan dan yakin dengan rezeki yang Allah beri. Saya selalu positifkan diri dan bercakap pada diri sendiri yang saya lebih baik daripada orang lain.

“Bukan bermakna saya perasan ‘bagus’, sebaliknya ia adalah kata-kata yang saya ungkapkan dalam hati setiap kali diperlekeh atau dipersenda, biarpun saya sudah buktikan kemampuan saya sebagai penyanyi.

“Saya juga sering ingatkan diri sendiri bahawa Allah kurniakan orang seperti ini di sekeliling kita untuk ingatkan diri sendiri. Ia sebagai satu ruang untuk kita memperbaiki diri. Ayah selalu pesan ‘apa saja cacian, kena buktikan’.

“Maksudnya, walau dicaci macam mana sekalipun, saya kena buktikan pada mereka yang mencaci bahawa saya bukan setakat cakap kosong tapi saya buktikan dengan sesuatu yang boleh dibanggakan diri dan keluarga,” kata Shila tenang.

Katanya, ini bukan kali pertama dia dihimpit kata-kata berbaur senda, malah ketika membuktikannya dengan Anugerah Emas pada 2008 di Penang Shanghai World Star Quest, orang tetap bercakap.

Begitu juga apabila menang tempat kedua dalam pertandingan One In A Million musim ke-2, orang masih bercakap. Namun kata Shila, semua itu langsung tidak mematahkan semangatnya. Baginya, rezeki Allah yang beri dan apa saja cacian, dia kena buktikan sebaliknya.

“Syukur berkat kesabaran, saya berjaya buktikan sikit demi sikit. Saya sangat bersyukur kerana ada keluarga dan Sharnaaz yang menyokong dan memberi kata-kata semangat,” katanya.

Sejurus pulang dari Shanghai, jadual Shila mula padat. Apatah lagi dia cuma ada masa tiga minggu berada di Malaysia sebelum terbang semula ke Shanghai untuk tujuan promosi.

Dek kesuntukan masa, hampir semua media cetak dan elektronik bukan setakat berbahasa Melayu, malah media bukan berbahasa Melayu turut mengejarnya. Senario ini jauh berbeza dengan segelintir artis yang masih berada dalam ‘angan-angan’ mereka sendiri.

Sesi fotografi bersama SELEBRITI minggu lalu berjalan lancar dan penuh mesra.
Daripada sikap dan tingkah lakunya, tidak hairan Shila dicemburui banyak pihak.
Shila mesra melayan setiap soalan, malah kemesraan dan imej positif itu juga yang dibawa lantas melayakkannya bergelar juara.

“Selama berada di pertandingan itu, saya bersyukur sebab semua peserta dilayan sama rata. Walaupun saya berhijab, mereka tetap layan saya dengan baik. Tidak ada layanan berbeza hanya kerana saya beragama Islam dan berhijab.

“Mereka juga sangat menghormati antara satu sama lain. Pada mulanya, mereka menganggap cara saya berpakaian adalah fesyen tapi hinggalah di peringkat akhir, mereka meminta saya menukar pakaian disediakan.

“Namun saya jelaskan kepada mereka, cara saya berpakaian menjadi sebahagian daripada diri saya sekarang, malah ia tuntutan agama saya.

“Mereka faham dan menyediakan segala keperluan yang saya inginkan untuk pertandingan itu,” katanya bercerita saat berada di kota metropolitan itu, September lalu.

Malah, keramahan Shila sepanjang berada di pertandingan itu juga membuatkan ramai peserta, malah pasukan produksi begitu selesa.

Katanya gembira, jika peserta lain lebih suka duduk keseorangan kerana gementar, Shila pula akan cuba bercakap dengan semua orang.

Shila bermula sebagai penyanyi cilik dan dikenali sebagai Shila Tekno kerana sering membawa lagu genre itu pada awal kemunculan. Kemudian genre lagu dibawa juga berubah seiring dengan usia remaja.

Apabila dilamar syarikat rakaman Monkey Bone selepas OIAM2, sekali lagi genrenya berubah. Begitulah setiap kali Shila menukar angin, ada saja pembaharuan dilakukan. Sehingga perubahan itu juga menjadi kritikan, lantas ada yang melabelnya penyanyi yang tiada pendirian.

“Penjenamaan semula sangat penting untuk penghibur. Setiap yang dilakukan kita boleh nampak kemajuan yang berlaku mengikut umur dan jenis muzik.

“Saya perlu lakukan sesuatu untuk sering kelihatan segar. Ibarat naik tren, kita akan berhenti di setiap stesen sebelum berhenti di stesen yang kita mahu.

“Saya tak nafikan, bila cuba segarkan semula, ia langkah terbaik untuk kita mengenal diri. Saya tak pernah nafikan apa yang dilabel pihak lain, saya ambil kritikan itu daripada sudut positif,” katanya.


Berjauhan dari keluarga dan kekasih

SEJAK bergelar penyanyi, Shila akui banyak pengorbanan dilakukan bukan saja oleh dirinya, malah semua anggota keluarga.

Apabila mengingatkan soal pengorbanan, kata Shila, hatinya sebak. Sesekali matanya bagai melempar jauh ke satu sudut, bagai 1,001 rasa bermain ligat dalam hatinya.

Kata anak sulung daripada empat beradik itu, pengorbanan paling besar ialah masa bersama keluarga tercinta. Paling menyentuh tatkala Shila berasakan adik-beradiknya paling banyak berkorban.

“Saya rapat dengan adik. Kami sangat rapat dan sering menghabiskan masa bersama. Apabila berada dalam keadaan yang semakin sibuk, mak dan ayah sering bersama dan kadangkala terpaksa meninggalkan mereka.

“Bagi sesetengah orang, ia mungkin nampak berat sebelah sebab mak dan ayah seolah-olah lebihkan saya daripada mereka. Saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat memahami antara satu sama lain.

“Dalam keadaan sekarang, ayah meminta mak menemankan saya ke mana-mana,” katanya sambil menjeling manja ke arah ibu yang setia di sisi, Fauziah Sarman atau mesra disapa Kak Zie di kalangan teman media.

Malah, ketika berada di luar negara, mereka sering berhubung melalui telefon dan pesanan ringkas. Sebaik pulang, Shila terus luangkan masa berkualiti bersama adik beradiknya kerana tahu entah bila dan di mana mereka dapat bermesra lagi.

Mengenai kekasih hati, Sharnaaz Ahmad, dengan berkembangnya kerjaya seni ke luar negara, mungkin mereka turut berdepan situasi yang berlaku kepada Yuna dan Qi apabila terpaksa mengorbankan hubungan istimewa mereka.

Tanpa berfikir panjang, Shila hanya berkata, biar Allah yang tentukan jodoh mereka. Malah, Shila akui berbincang dengan Sharnaaz mengenai masa depan mereka.

Hasil perbincangan, mereka selesa dalam keadaan sekarang. Masing-masing mengejar cita-cita dan apabila tiba masanya kelak, akan disatukan jua.

“Keluarga dua-dua pihak bersetuju meletak sekurang-kurangnya dua tahun dari sekarang sebelum diijab kabul. Dalam situasi sekarang, kepercayaan itu sangat penting.

“Sharnaaz juga bersetuju dan tidak pernah paksa. Dia selalu memberi perangsang untuk saya teruskan cita-cita,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...